Salam.
Minggu ini merupakan minggu ujian bagi anak-anak. Apabila anak-anak akan menduduki ujian maka saya dan suami akan sibuk memastikan mereka membuat ulang kaji pelajaran. Kadang kala terasa letih sebab harus duduk menjadi "pengawal" bagi memastikan mereka tidak "melarikan diri".
Mungkin ada yang beranggapan, anak-anak tidak perlu dipaksa untuk belajar kerana itu akan menjadikan mereka bosan dan tidak suka dengan suasana pembelajaran. Namun dalam senario pendidikan di sini yang mementingkan pencapaian akademik, mahu tidak mahu, anak-anak harus dipaksa untuk belajar dan membuat ulang kaji.
Saya teringat kata-kata seorang teman kepada saya apabila saya mengeluh tentang anak-anak yang malas belajar. Katanya, "alah... anak-anak kau dah pandai, takpe kalau tak belajar pun result dia orang OK jugak!"
Persoalannya sekarang, apakah anak-anak yang sudah dianggap pandai itu tidak perlu belajar bersungguh-sungguh seperti anak-anak lain? Apakah pencapaian mereka tidak akan merosot kalau tidak belajar?
Persoalan ini saya jawab dengan melihat kepada pendapat ahli-ahli psikologin tentang kecerdasan. Ada ahli psikologi yang berpendapat bahawa kecerdasan itu merupakan warisan, iaitu ditentukan oleh gen-gen daripada ibu bapa. Namun ada juga yang berpendapat bahawa kecerdasan ditentukan oleh persekitaran. Dalam hal ini, saya lebih berpihak kepada pendapat yang kedua, iaitu persekitaran mempengaruhi kecerdasan seseorang khususnya kanak-kanak.
Keluarga memainkan peranan yang penting dalam mempengaruhi kecerdasan atau tingkah laku intelektual seseorang kanak-kanak. Ini kerana asas pembelajaran sosial seseorang kanak-kanak bermula dari rumah seperti perkembangan bahasa, pembentukan perhubungan, dan penyelesaian masalah. Dengan itu, latar belakang keluarga atau "Status Ekonomi Sosial" penting dalam pembentukan kecerdasan dan tingkah laku intelektual seseorang kanak-kanak sebagaimana yang dinyatakan oleh Maslow, yakni keperluan fisiologi merupakan peringkat pertama yang diperlukan oleh kanak-kanak. Keperluan ini akan terpenuhi jika ekonomi keluarga stabil.Ini kerana ibu bapa dapat menyediakan pemakanan berzat kepada anak-anak yang dapat membantu perkembangan mental yang baik. Selain itu, keluarga yang mempunyai kedudukan kewangan yang baik juga dapat menyediakan tempat tinggal dan kemudahan fizikal yang selesa. Dengan kemudahan yang baik seperti suasana rumah yang kondusif, alat permainan, komputer dan kelas bimbingan (tusyen)dapat mempertingkatkan kemampuan intelek kanak-kanak.
Kestabilan ekonomi keluarga dapat juga dikaitkan dengantaraf pendidikan ibu bapa kerana kebiasaannya ibu bapa yang berpendidikan akan mempunyai pendapatan yang tinggi. Selain menjamin kestabilan ekonomi, ibu bapa yang berpendidikan kebiasaannya mempunyai kesedaran terhadap pentingnya pendidikan kepada anak-anak. Mereka juga biasanya akan memberikan prioriti utama terhadap pendidikan baik yang asas mahupun tambahan seperti kelas muzik, lukisan dan kemahiran lain.
Dapat saya simpulkan bahawa latar belakang keluarga berperanan dalam pembentukan tingkah laku intelektual kanak-kanak. Maka ibu bapa perlu berusaha untuk menjadikan suasana rumah kondusif dan harmonis si samping sentiasa memberi bimbingan dan dorongan biarpun terpaksa menjadi "pengawal" yang memastikan anak-anak membuat ulangkaji pelajaran.
The elements of a proposal
13 years ago