Monday, May 24, 2010

Latar Belakang Keluarga ...

Salam.

Minggu ini merupakan minggu ujian bagi anak-anak. Apabila anak-anak akan menduduki ujian maka saya dan suami akan sibuk memastikan mereka membuat ulang kaji pelajaran. Kadang kala terasa letih sebab harus duduk menjadi "pengawal" bagi memastikan mereka tidak "melarikan diri".

Mungkin ada yang beranggapan, anak-anak tidak perlu dipaksa untuk belajar kerana itu akan menjadikan mereka bosan dan tidak suka dengan suasana pembelajaran. Namun dalam senario pendidikan di sini yang mementingkan pencapaian akademik, mahu tidak mahu, anak-anak harus dipaksa untuk belajar dan membuat ulang kaji.

Saya teringat kata-kata seorang teman kepada saya apabila saya mengeluh tentang anak-anak yang malas belajar. Katanya, "alah... anak-anak kau dah pandai, takpe kalau tak belajar pun result dia orang OK jugak!"

Persoalannya sekarang, apakah anak-anak yang sudah dianggap pandai itu tidak perlu belajar bersungguh-sungguh seperti anak-anak lain? Apakah pencapaian mereka tidak akan merosot kalau tidak belajar?

Persoalan ini saya jawab dengan melihat kepada pendapat ahli-ahli psikologin tentang kecerdasan. Ada ahli psikologi yang berpendapat bahawa kecerdasan itu merupakan warisan, iaitu ditentukan oleh gen-gen daripada ibu bapa. Namun ada juga yang berpendapat bahawa kecerdasan ditentukan oleh persekitaran. Dalam hal ini, saya lebih berpihak kepada pendapat yang kedua, iaitu persekitaran mempengaruhi kecerdasan seseorang khususnya kanak-kanak.

Keluarga memainkan peranan yang penting dalam mempengaruhi kecerdasan atau tingkah laku intelektual seseorang kanak-kanak. Ini kerana asas pembelajaran sosial seseorang kanak-kanak bermula dari rumah seperti perkembangan bahasa, pembentukan perhubungan, dan penyelesaian masalah. Dengan itu, latar belakang keluarga atau "Status Ekonomi Sosial" penting dalam pembentukan kecerdasan dan tingkah laku intelektual seseorang kanak-kanak sebagaimana yang dinyatakan oleh Maslow, yakni keperluan fisiologi merupakan peringkat pertama yang diperlukan oleh kanak-kanak. Keperluan ini akan terpenuhi jika ekonomi keluarga stabil.Ini kerana ibu bapa dapat menyediakan pemakanan berzat kepada anak-anak yang dapat membantu perkembangan mental yang baik. Selain itu, keluarga yang mempunyai kedudukan kewangan yang baik juga dapat menyediakan tempat tinggal dan kemudahan fizikal yang selesa. Dengan kemudahan yang baik seperti suasana rumah yang kondusif, alat permainan, komputer dan kelas bimbingan (tusyen)dapat mempertingkatkan kemampuan intelek kanak-kanak.

Kestabilan ekonomi keluarga dapat juga dikaitkan dengantaraf pendidikan ibu bapa kerana kebiasaannya ibu bapa yang berpendidikan akan mempunyai pendapatan yang tinggi. Selain menjamin kestabilan ekonomi, ibu bapa yang berpendidikan kebiasaannya mempunyai kesedaran terhadap pentingnya pendidikan kepada anak-anak. Mereka juga biasanya akan memberikan prioriti utama terhadap pendidikan baik yang asas mahupun tambahan seperti kelas muzik, lukisan dan kemahiran lain.

Dapat saya simpulkan bahawa latar belakang keluarga berperanan dalam pembentukan tingkah laku intelektual kanak-kanak. Maka ibu bapa perlu berusaha untuk menjadikan suasana rumah kondusif dan harmonis si samping sentiasa memberi bimbingan dan dorongan biarpun terpaksa menjadi "pengawal" yang memastikan anak-anak membuat ulangkaji pelajaran.

Friday, May 21, 2010

Kita Harus Memotivasikan Diri

Salam.

Entah kenapa terasa bosan dan ingin menulis sesuatu tetapi tak tahu apa yang ingin dicoretkan. Tiba-tiba terfikir tentang motivasi. Sebabnya adalah kerana saya kurang bermotivasi untuk menulis dalam blog ini yang dibangunkan oleh teman saya, Dr.Honey tahun lalu.

Berbalik kepada motivasi, dapat dikatakan bahawa motivasi merupakan perkara yang mendorong seseorang individu bertindak untuk mencapai matlamat atau keinginannya. Motivasi pada umumnya boleh dibahagikan kepada motivasi intrinsik dan ekstrinsik.

Motivasi intrinsik merupakan penggerak kepada perlakuan untuk memperoleh atau mencapai keinginan yang datang dari dalam diri individu tersebut (untuk memperolehi kepuasan diri). Motivasi ekstrinsik biasanya berkait rapat dengan peneguhan, iaitu rangsangan atau peristiwa luar yang menyebabkan tindak balas berlaku (mendapat ganjaran).

Terdapat beberapa sebab kita harus memotivasikan diri. Antaranya adalah:

i. Kegagalan sering dikaitkan dengan pengabaian motivasi diri sendiri. Ini kerana kita tidak berusaha untuk menggerakkan diri kita untuk melaksankan sesuatu matlamat sebaliknya menyerahkannya kepada keadaan.

ii. Motivasi boleh menjadi "tenaga" bagi kita mendapatkan sesuatu yang diingini. Misalnya kita ingin membeli komputer baru tetapi gaji yang kita dapat tidak membolehkan kita memperolehinya. Maka kita akan bekerja keras seperti membuat 'overtime' bagi mengumpul duit untuk membeli komputer yang baru.

iii. Diri kita akan menjadi tidak 'berharga' dan fikiran pula tidak akan 'berkembang' jika kita gagal memanfaatkan "tenaga" yang ada dalam diri kita. Misalnya meningkatkan potensi diri biarpun tidak sehebat orang lain.

iv. Orang yang bermotivasi biasanya merupakan orang yang mempunyai perancangan dalam hidup. Jarang-jarang sekali orang yang mempunyai perancangan menghadapi kegagalan kerana perancangan biasanya diikuti dengan strategi, iaitu plan A, Plan B atau plan C...

v. Kita tidak mungkin dapat memotivasikan orang lain jika kita tidak memotivasikan diri kita terlebih dahulu. Dalam soal ini kita boleh lihat diri kita sebagai ibu bapa yang seharusnya membentuk konsep kendiri anak-anak dan memotivasikan diri mereka.

Sebelum saya mengakhiri coretan ini, saya ingin berkongsi ungkapan daripada seseorang yang saya kenal, iaitu: "motivasi ibarat mandi... seseorang itu perlu mandi untuk menyegarkan dirinya..."

SEMOGA KITA AKAN LABIH BERMOTIVASI UNTUK MENGHADAPI HARI-HARI YANG PENUH CABNARAN...

Monday, May 17, 2010

Guru Pembentuk Konsep Kendiri Pelajar

Salam.

Sudah lama sekali saya tidak menjenguk blog ini. Entah... belum menjadikannya sebagai sebahagian daripada rutin kehidupan agaknya.

Semalam,16 Mei merupakan Hari Guru di negara tercinta kita, Malaysia. Hari ini murid-murid dan guru menyambutnya di sekolah. Pastinya meriah sekali. Pada masa inilah anak-anak murid memberikan hadiah dan ucapan kepada guru-guru. Pelbagai acara dipersembahkan untuk tontonan guru-guru. Hari-hari sebelumnya ibu bapa juga sibuk mencarikan hadiah untuk para guru bagi pihak anak-anak.

Betapa besarnya jasa guru sehingga diberi pengiktirafan dengan sambutan Hari Guru setiap tahun.

Berbalik kepada jasa guru, guru bukan sahaja berjasa dalam memberi ilmu pengetahuan dan mendidik pelajar agar menjadi insan yang baik malah guru merupakan pembentuk kepada konsep kendiri pelajar.

Konsep kendiri adalah suatu pandangan atau persepsi seseorang tentang dirinya. Pandangan ini merangkumi sifat luaran seperti paras rupa, bentuk badan dan penampilan serta sifat dalaman seperti kebolehan, kelemahan dan tingkah laku.

Konsep kendiri seseorang boleh dibentuk atau dibina. Konsep kendiri seorang anak akan dipengaruh oleh sifat semula jadinya, lingkungan keluarga dan persekitarannya. Anak yang mendapat perhatian dan kasih sayang daripada ibu bapanya akan menjadi seorang yang mempunyai konsep kendiri yang baik atau positif. Selain itu, guru juga merupakan agen kepada pembentukan konsep kendiri seseorang (murid).

"Pengiktirafan' guru kepada pelajarnya akan membuat pelajarnya bertambah yakin kepada diri sendiri dan secara tidak langsung meningkatkan konsep kendirinya. Pengiktirafan tersebut boleh berupa pujian, peluang, dan penerimaan.

Pujian merupakan peneguhan positif yang paling murah yang boleh diberikan oleh seseorang guru kepada pelajarnya. Memuji seorang pelajar yang sering terlambat datang ke sekolah, dengan mengatakan,

"Baguslah awak hari ini, datang awal. Kalau hari-hari awak sampai awal ke sekolah 'kan bagus; boleh berehat dulu sebelum kelas bermula". Namun begitu, peneguhan sebegini jarang-jarang digunakan sebaliknya peneguhan positif yang sering dilakukan (tanpa disedari), misalnya memarahi murid kerana datang lambat dan ditambah pula dengan amaran keras. Perbuatan ini secara tidak langsung akan melemahkan konsep kendiri murid tersebut.

Pelajar perlulah diberi peluang untuk menunjukkan bakat dan kemampuannya. Oleh kerana guru mempunyai pelajar yang ramai, fokus guru sering diberikan kepada pelajar-pelajar cemerlang (golongan pertama) dan yang lemah (golongan ketiga). Peluang sering diberikan kepada murid cemerlang manakala perhatian pula diberikan kepada murid yang lemah. Golongan pelajar yang berada dalam kelompok sederhana (golongan kedua) sering terabaikan. Peluang perlu diberikan kepada pelajar-pelajar dalam golongan kedua ini kerana konsep kendiri mereka boleh ditingkatkan lagi. Contohnya, semasa memilih murid untuk membuat persembahan pada Hari Guru, guru cenderung untuk memilih pelajar yang sudah dikenali sebagai yang mempunyai bakatnya yang terserlah. Sebaliknya jarang-jarang guru memberi peluang kepada pelajar untuk tampil sendiri membuat persembahan. Pelajar yang tampil dengan keinginan sendiri akan membentuk konsep kendiri yang baik (walaupun bakatnya tidak sebaik pelajar yang dipilih oleh guru).

Penerimaan oleh guru amat penting bagi seorang mpelajar kerana dapat meningkatkan konsep kendirinya. Penerimaan yang dimaksudkan di sini adalah penerimaan kepada sifat-sifat individu yang unik, yang berbeza dengan individu yang lain baik dari segi sikap, pengetahuan, kemahiran mahupun pengalaman. Ini bermaksud, guru menerima dan memahami pelajarnya sebagai dirinya sendiri. Tidak semua pelajar menunjukkan kecemerlangan dalam bidang akademik. Guru perlu menerima pelajar golongan kedua dan ketiga seadanya disamping cuba menggali potensi diri lain yang ada pada mereka (lebih kepada kemampuan psikomotor jika tidak mampu dari sudut kognitif).

Kesimpulannya, peranan guru amat besar yakni bukan hanya memberi ilmu pengetahuan sebaliknya sebagai agen kepada pembentukan konsep kendiri pelajar (yang merupaka asas kepada pembentukan peribadi).

TAHNIAH KEPADA INSAN YANG BERGELAR GURU.

Monday, April 19, 2010

Kasih Sayang Perlu dipupuk dalam Keluarga.

Perkongsiang emosi wujud dalam sesebuah keluarga. Ini kerana sebuah keluarga terbentuk melalui perkahwinan yang selalunya didasari perasaan cinta dan kasih sayang. Suami dan isteri saling mengasihi antara satu sama lain. Apabila mereka dikurniai anak maka kasih sayang itu akan menjadi bertambah erat. Kasih sayang yang tersemai antara suami isteri dan yang dicurahkan kepada anak-anak tidak boleh dijual beli dan bersifat murni dan sejati.

Perasaan kasih dan sayang antara suami dengan isteri dan ibu bapa dengan anak-anak perlulah dipupuk sepanjang masa. Kasih sayang itu perlu ditunjukkan dengan perlakuan dan pertuturan kerana akan lebih berkesan.

Anak-anak perlu sering dibawa menziarah atau berkunjung ke rumah nenda dan saudara mara yang sudah tua. Dengan perbuatan ini, anak-anak sebenarnya dilatih untuk menziarah ibu bapanya apabila mereka dewasa kelak sebagaimana yang dilakukan oleh ibu bapa kepada nenda mereka.

Untuk memupuk sikap belas dan kasih terhadap orang tua/ibu bapa kelak memakan waktu yang panjang dan perlulah konsisten. Sesungguhnya semua ibu bapa meninginkan anak-anak mengasihi dan menjaga mereka apabila tua kelak. Namun. perbuatan dan perlakuan mereka pada ketika anak-anak kecil dan membesar yang akan menetukannya nanti...

Marilah kita sama-sama berdoa...

"Ya Allah...Ya Tuhanku, tunjukilah aku untuk mensyukuri nikmat Engkau yang telah Engkau berikan kepadaku dan kepada Ibu-Bapakku dan supaya aku dapat berbuat amal yang soleh yang Engkau Ridhoi, Berilah kebaikan kepadaku dengan (memberi kebaikan) kepada anak cucuku. Sesungguhnya aku bertaubat kepada Engkau dan Sesungguhnya aku termasuk orang-orang yang berserah diri."

Amin...