Monday, May 17, 2010

Guru Pembentuk Konsep Kendiri Pelajar

Salam.

Sudah lama sekali saya tidak menjenguk blog ini. Entah... belum menjadikannya sebagai sebahagian daripada rutin kehidupan agaknya.

Semalam,16 Mei merupakan Hari Guru di negara tercinta kita, Malaysia. Hari ini murid-murid dan guru menyambutnya di sekolah. Pastinya meriah sekali. Pada masa inilah anak-anak murid memberikan hadiah dan ucapan kepada guru-guru. Pelbagai acara dipersembahkan untuk tontonan guru-guru. Hari-hari sebelumnya ibu bapa juga sibuk mencarikan hadiah untuk para guru bagi pihak anak-anak.

Betapa besarnya jasa guru sehingga diberi pengiktirafan dengan sambutan Hari Guru setiap tahun.

Berbalik kepada jasa guru, guru bukan sahaja berjasa dalam memberi ilmu pengetahuan dan mendidik pelajar agar menjadi insan yang baik malah guru merupakan pembentuk kepada konsep kendiri pelajar.

Konsep kendiri adalah suatu pandangan atau persepsi seseorang tentang dirinya. Pandangan ini merangkumi sifat luaran seperti paras rupa, bentuk badan dan penampilan serta sifat dalaman seperti kebolehan, kelemahan dan tingkah laku.

Konsep kendiri seseorang boleh dibentuk atau dibina. Konsep kendiri seorang anak akan dipengaruh oleh sifat semula jadinya, lingkungan keluarga dan persekitarannya. Anak yang mendapat perhatian dan kasih sayang daripada ibu bapanya akan menjadi seorang yang mempunyai konsep kendiri yang baik atau positif. Selain itu, guru juga merupakan agen kepada pembentukan konsep kendiri seseorang (murid).

"Pengiktirafan' guru kepada pelajarnya akan membuat pelajarnya bertambah yakin kepada diri sendiri dan secara tidak langsung meningkatkan konsep kendirinya. Pengiktirafan tersebut boleh berupa pujian, peluang, dan penerimaan.

Pujian merupakan peneguhan positif yang paling murah yang boleh diberikan oleh seseorang guru kepada pelajarnya. Memuji seorang pelajar yang sering terlambat datang ke sekolah, dengan mengatakan,

"Baguslah awak hari ini, datang awal. Kalau hari-hari awak sampai awal ke sekolah 'kan bagus; boleh berehat dulu sebelum kelas bermula". Namun begitu, peneguhan sebegini jarang-jarang digunakan sebaliknya peneguhan positif yang sering dilakukan (tanpa disedari), misalnya memarahi murid kerana datang lambat dan ditambah pula dengan amaran keras. Perbuatan ini secara tidak langsung akan melemahkan konsep kendiri murid tersebut.

Pelajar perlulah diberi peluang untuk menunjukkan bakat dan kemampuannya. Oleh kerana guru mempunyai pelajar yang ramai, fokus guru sering diberikan kepada pelajar-pelajar cemerlang (golongan pertama) dan yang lemah (golongan ketiga). Peluang sering diberikan kepada murid cemerlang manakala perhatian pula diberikan kepada murid yang lemah. Golongan pelajar yang berada dalam kelompok sederhana (golongan kedua) sering terabaikan. Peluang perlu diberikan kepada pelajar-pelajar dalam golongan kedua ini kerana konsep kendiri mereka boleh ditingkatkan lagi. Contohnya, semasa memilih murid untuk membuat persembahan pada Hari Guru, guru cenderung untuk memilih pelajar yang sudah dikenali sebagai yang mempunyai bakatnya yang terserlah. Sebaliknya jarang-jarang guru memberi peluang kepada pelajar untuk tampil sendiri membuat persembahan. Pelajar yang tampil dengan keinginan sendiri akan membentuk konsep kendiri yang baik (walaupun bakatnya tidak sebaik pelajar yang dipilih oleh guru).

Penerimaan oleh guru amat penting bagi seorang mpelajar kerana dapat meningkatkan konsep kendirinya. Penerimaan yang dimaksudkan di sini adalah penerimaan kepada sifat-sifat individu yang unik, yang berbeza dengan individu yang lain baik dari segi sikap, pengetahuan, kemahiran mahupun pengalaman. Ini bermaksud, guru menerima dan memahami pelajarnya sebagai dirinya sendiri. Tidak semua pelajar menunjukkan kecemerlangan dalam bidang akademik. Guru perlu menerima pelajar golongan kedua dan ketiga seadanya disamping cuba menggali potensi diri lain yang ada pada mereka (lebih kepada kemampuan psikomotor jika tidak mampu dari sudut kognitif).

Kesimpulannya, peranan guru amat besar yakni bukan hanya memberi ilmu pengetahuan sebaliknya sebagai agen kepada pembentukan konsep kendiri pelajar (yang merupaka asas kepada pembentukan peribadi).

TAHNIAH KEPADA INSAN YANG BERGELAR GURU.

No comments: