Friday, May 21, 2010

Kita Harus Memotivasikan Diri

Salam.

Entah kenapa terasa bosan dan ingin menulis sesuatu tetapi tak tahu apa yang ingin dicoretkan. Tiba-tiba terfikir tentang motivasi. Sebabnya adalah kerana saya kurang bermotivasi untuk menulis dalam blog ini yang dibangunkan oleh teman saya, Dr.Honey tahun lalu.

Berbalik kepada motivasi, dapat dikatakan bahawa motivasi merupakan perkara yang mendorong seseorang individu bertindak untuk mencapai matlamat atau keinginannya. Motivasi pada umumnya boleh dibahagikan kepada motivasi intrinsik dan ekstrinsik.

Motivasi intrinsik merupakan penggerak kepada perlakuan untuk memperoleh atau mencapai keinginan yang datang dari dalam diri individu tersebut (untuk memperolehi kepuasan diri). Motivasi ekstrinsik biasanya berkait rapat dengan peneguhan, iaitu rangsangan atau peristiwa luar yang menyebabkan tindak balas berlaku (mendapat ganjaran).

Terdapat beberapa sebab kita harus memotivasikan diri. Antaranya adalah:

i. Kegagalan sering dikaitkan dengan pengabaian motivasi diri sendiri. Ini kerana kita tidak berusaha untuk menggerakkan diri kita untuk melaksankan sesuatu matlamat sebaliknya menyerahkannya kepada keadaan.

ii. Motivasi boleh menjadi "tenaga" bagi kita mendapatkan sesuatu yang diingini. Misalnya kita ingin membeli komputer baru tetapi gaji yang kita dapat tidak membolehkan kita memperolehinya. Maka kita akan bekerja keras seperti membuat 'overtime' bagi mengumpul duit untuk membeli komputer yang baru.

iii. Diri kita akan menjadi tidak 'berharga' dan fikiran pula tidak akan 'berkembang' jika kita gagal memanfaatkan "tenaga" yang ada dalam diri kita. Misalnya meningkatkan potensi diri biarpun tidak sehebat orang lain.

iv. Orang yang bermotivasi biasanya merupakan orang yang mempunyai perancangan dalam hidup. Jarang-jarang sekali orang yang mempunyai perancangan menghadapi kegagalan kerana perancangan biasanya diikuti dengan strategi, iaitu plan A, Plan B atau plan C...

v. Kita tidak mungkin dapat memotivasikan orang lain jika kita tidak memotivasikan diri kita terlebih dahulu. Dalam soal ini kita boleh lihat diri kita sebagai ibu bapa yang seharusnya membentuk konsep kendiri anak-anak dan memotivasikan diri mereka.

Sebelum saya mengakhiri coretan ini, saya ingin berkongsi ungkapan daripada seseorang yang saya kenal, iaitu: "motivasi ibarat mandi... seseorang itu perlu mandi untuk menyegarkan dirinya..."

SEMOGA KITA AKAN LABIH BERMOTIVASI UNTUK MENGHADAPI HARI-HARI YANG PENUH CABNARAN...

No comments: